Pages

28 July 2010

Guru di Benarkan Berpolitik..???

KUALA LUMPUR 27 Julai – Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Beliau berkata, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan pengumuman tersebut, ia membolehkan kira-kira 190,000 guru berijazah di seluruh negara terlibat dalam politik.

Bagi tujuan itu, Mohd. Sidek berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tambah beliau, tindakan sedang diambil untuk mewartakan pindaan peraturan tersebut.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

‘‘Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad,’’ kata Mohd. Sidek.

Beliau berkata, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya, mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik. – BERNAMA

No comments:

COPYRIGHT@HAK MILIK PURNAMANIZAM