1.0 Pengenalan
Ukhuwwah Islamiah adalah suatu perkara yang amat suci dan merupakan anugerah Allah kepada orang-orang yang dikehendakinya. Walau sehebat manapun usaha yang dilakukan oleh seseorang yang mahukan ukhuwwah, walau sebanyak mana harta yang ditaburkan untuk memiliknya.. namun ia tidak akan mampu memilikinya selagi Allah SWT tidak memperkenankannya.
Seperti Firman Allah dalam surah Al-Anfal , ayat 63 : Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka.
Justeru, untuk merasai kelazatan nikmat ukhuwwah Islamiah, kita perlu memahaminya terlebih dahulu syarat-syarat dan kelayakan orang yang dipilih Allah untuk merasainya.
2.0 Syarat Ukhuwwah Islamiah
Syarat utama ukhuwwah Islamiah ialah hubungan itu berlaku kerana Allah. Semuanya bersandarkan kepada Allah. Ertinya, hubungan yang dijalinkan antara dua individu itu mestilah hanya kerana bermatlamatkan keredhaan Allah. Justeru, apabila matlamatnya ialah Allah, maka segala perlakuan antara dua individu itu juga hendaklah menepati kehendak Allah.
Apabila bertemu dengan sahabatnya, akan terasa kelembutan dan ketenangan jiwanya. Dimukanya redup dan senang. Akan segera teringat kepada Allah apabila bersama dengannya kerana dia sentiasa mengingatkan kita kepada Allah. Ibadah kita semakin bertambah. Terasa rindu untuk meletakkan kepala sujud dihadapannya.
Ukhuwwah seperti ini ada digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya : dua orang yang berkasih sayang kerana Allah yang
kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Pada hari ini, ramai yang mengaku berukhuwwah kerana Allah, tetapi melakukan banyak kemungkaran dan kefasadan dalam hubungan tersebut.
Ukhuwwah itu tidak ikhlas, disandarkan kepada kelebihan yang ada pada individu yang satu lagi. Dia seorang yang kaya, maka dialah kawanku. Dia orang bijak, maka dialah kawan aku. Dia ada komputer canggih, maka dialah kawan aku. Dia anak menteri, maka dialah kawanku. Sesungguhnya ini bukanlah ukhuwwah akan tetapi satu kepalsuan yang dibalut dengan nama ukhuwwah!
Lebih dahsyat lagi, keakraban dua orang sahabat dalam melakukan maksiat turut dicop sebagai ukhuwwah!
Segerombolan pencuri mengaku mereka mempunyai ukhuwwah yang mantap. Saling cover dan membackup kawan yang terlepas dari cekupan polis. Sanggup dibelasah dalam sel oleh polis , tapi untuk membocorkan nama kawan pencurinya yang bebas.. tidak sama sekali! kerana katanya.. inilah ukhuwwah!.. nah.. kepalsuan yang nyata!
Lebih dahsyat lagi, apabila ukhuwwah itu dibangga-bangga dan ditaja pula kepada orang lain sehingga rosak maksud sebenar ukhuwwah yang dianjurkan Islam.
3.0 Bertaubat dari ukhuwwah yang palsu
Seringkali manusia ini melakukan kesalahan. Maka sebab itulah datangnya para rasul untuk membawa keluar manusia dari lembah dosa ke taman pahala. Antara berita gembira kepada pelaku-pelaku dosa yang disampaikan oleh Rasul ialah : "Setiap orang itu berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari melakukan dosa"
Begitulah sifat Ar-Rahim, Tuhan yang Maha Mengasihani, mengampunkan dosa hamba-hambanya walau setinggi dan sejahat mana dosa itu. Seperti yang difirmankanNya dalam surah Al-Baqarah, 2:222 (Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri)
Maka bertaubatlah wahai manusia, yang menjalinkan ukhuwwah palsu! Apatah lagi ukhuwwah palsu itu pula dibaluti dengan perbuatan maksiat. Nauzubillah.
4.0 Meninggalkan teman yang membawa kita ke neraka
Pra syarat taubat yang disepakati oleh para ulama ada 3
- menyesal/membencii perbuatan maksiat
- meninggalkan perbuatan maksiat
- berazam tidak melakukannya lagi
Maka, jika dengan berkawan dengan seseorang itu menyebabkannya tergelincir ke kancah dosa, maka tindakan yang paling tepat ialah dengan meninggalkannya! Tidak bersahabat dengan orang itu lagi! Tidak sama sekali ia berbunyi memutuskan ukhuwwah, kerana hubungan yang dijalinkan sebelum itu bukanlah ukhuwwah!
Ukhuwwah adalah persaudaraan yang disandarkan kepada Allah serta membawa kita dekat kepada Allah. Maka jika ia membawa kita menjauhi dari Allah, sudah terbukti jelas ia bukanlah ukhuwwah!
Maka, jika dilihat kepada pra syarat taubat... menyesali perbuatan maksiat, membencinya dan berazam tidak melakukannya lagi... bagaimanakah untuk melaksanakannya jika masih lagi berada dalam persekitaran/biah yang mendorong untuk melakukan maksiat?
Sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW : “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagi seorang peminum arak yang bertaubat, bagaimana mungkin dia untuk tidak terus menerus meminum arak andai seluruh teman-teman semejanya masih meneguk dengan asyik air kencing syaitan itu?
Bagi seorang pelacur yang bertaubat. bagaimana mungkin dia terus istiqamah tidak berzina seandainya masih lagi berkawan dengan lelaki-lelaki hidung belang?
Bagi seorang penerima rasuah yang bertaubat. bagaimana mungkin dia dapat menolat getaran menerima duit suapan rasuah bila bersama dengan kawan-kawan yang masih lahap menjilat dan meratah wang rasuah?!
Oleh sebab itu, jangan takut untuk memutuskan hubungan dengan orang yang membawa kita jauh dengan Allah. Walaupun diancam , walaupun dikeji, walaupun disabotaj... tekadkan hati, bergantunglah kepada Allah.
Lebih baik mati dikeji orang namun disayangi Allah dan seluruh penduduk langit daripada dikasihi kawan-kawan namun menjadi musuh Allah dan para penghuni langit.
5.0 Penutup
Ingatlah, berpisah kerana Allah juga diiktiraf oleh Allah.Bahkan ia mendapat ganjaran yang sangat tinggi, iaitu mendapat naungan Arasy Allah!
Janganlah kerana terlalu takut/resah/bimbang/sayang untuk berpisah dengan kawan yang merupakan si pelaku maksiat dan pendorong kita melakukan maksiat.. menyebabkan kita menggigit jari dan menyesal nasib di akhirat kelak.
Allah gambarkan golongan ini di akhirat dengan cukup lengkap , "Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia.” (Surah al-Furqan: 28)
Maka, jangan ditanya mengapa aku tidak lagi akrab dengan kamu. Kerana sesungguhnya Aku Takutkan Allah.
dipetik daripada : http://muhakim.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment